Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Aliran trafik di sekitar Bandaraya Ipoh menunjukkan kesesakan akibat peningkatan jumlah kenderaan memasuki kawasan bandaraya ini berikutan orang ramai yang balik kampung sempena cuti Aidilfitri.

Tinjauan Suara Perak mendapati beberapa laluan utama di Bandaraya Ipoh seperti Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Raja Ekram bergerak perlahan berikutan penambahan jumlah kenderaan.

Jalan Raja Dr Nazrin Shah yang menghubungkan pusat bandar dan Medan Gopeng mengalami kesesakan teruk dengan kenderaan terhenti sepanjang 6 kilometer pada Jumaat.

Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan alternatif menuju ke selatan tanah air dilihat mengalami kesukaran apabila laluan Simpang Pulai-Gopeng-Kampar-Tapah juga bergerak dengan perlahan.

Sementara itu, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tidak terlepas daripada kesesakan dan dibanjiri dengan ribuan kenderaan sejak petang semalam (Khamis).

Twitter Plus melaporkan trafik perlahan selepas keluar tol Juru menuju ke Permatang Pauh disebabkan jumlah trafik yang tinggi.

Trafik juga perlahan dari Tapah menuju ke Gopeng, selain kesesakan sepanjang 7 kilometer dari Ayer Keroh ke Jasin disebabkan kenderaan rosak di lorong kiri Km 188 arah selatan.

Keadaan dijangka semakin buruk pada sebelah petang ekoran jumlah kenderaan semakin meningkat susulan pengumuman cuti umum Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini (Jumaat).