IPOH: Sebuah pusat bersalin alternatif telah dibina di Klinik Kesihatan Pengkalan Hulu bagi membantu menyelesaikan isu wad bersalin bagi penduduk setempat di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia adalah khusus untuk kes-kes bersalin berisiko rendah.

Menurut beliau, kebanyakan golongan ibu memerlukan pemantauan semasa dan selepas bersalin dan ianya lebih sesuai dilaksanakan di hospital.

“Selain itu, isu mengenai hospital terdekat, sebenarnya kedudukan Hospital Baling adalah berdekatan dengan kawasan Pengkalan Hulu dan perjalanan hanya memakan masa 10-15 minit.

“Sekiranya terdapat masalah atau isu pendaftarana anak, ianya boleh diselesaikan secara baik melalui persefahaman dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan anak-anak yang lahir di Hospital Baling tetapi menggunakan kod negeri Perak,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Selasa.

Sementara itu, Dr Mah ketika menjawab mengenai status pembinaan Hospital Baharu dan Klinik Kesihatan Gerik berkata, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menguruskan permohonan tukar guna tanah milik Persekutuan yang kini digunakan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia.

“Dengan penaiktarafan tersebut, ianya akan memberikan lebih keselesaan kepada masyarakat setempat, mengasingkan perkhidmatan pesakit dalam dan luar bagi meningkatkan penumpuan dan kualiti perkhidmatan,” ujarnya.