IPOH, 29 DIS: Ipoh International Convention Centre (ICC) bakal menjadi mercu tanda baharu bagi negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia satu inisiatif yang sangat baik oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Saya sangat gembira bagi pihak kerajaan negeri kerana kita lihat selepas penularan COVID-19, industri pelancongan di bandar raya ini agak suram.

“Dengan adanya mercu tanda baharu ini, ianya menawarkan sesuatu yang baharu kepada warga Ipoh dan Perak amnya.

“Malah, kita membuka ruang kepada organisasi dari dalam dan luar negara untuk mengadakan program mereka di Ipoh kerana kita mempunyai pusat konvensyen bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi di antara MBI dengan syarikat hartanah terkemuka, Bond Holdings Sdn Bhd dan Sycal Berhad di ICC di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid; Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Saarani berkata, mercu tanda baharu tersebut diharap dapat memulihkan kembali keyakinan terhadap keupayaan pelancongan negeri Perak.

Beliau juga berharap ICC bakal menjulang kembali nama Perak bukan sahaja di peringkat nasional malahan antarabangsa.