IPOH – Kira-kira 40 hingga 50 peratus kes yang dihantar ke pusat mediasi seluruh negara berjaya diselesaikan tanpa melalui perbicaraan penuh.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif berkata, ini membuktikan pusat mediasi merupakan satu methadologi berkesan dalam usaha mengurangkan kes yang tertunggak di mahkamah.

“Amat penting bagi semua pihak menghayati dan memahami konsep mediasi dah cara mana ia harus dipakai atau dipraktikkan

“Jangan sesekali mediasi dijadikan penyumbang kepada kelewatan penyelesaian sesuatu kes.

“Saya percaya jika mediasi ini dapat dipraktikkan dengan jayanya, matlamat Badan Kehakiman untuk menyelesaikan kes mengikut tempoh masa ditetapkan dapat dicapai,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Mediasi Mahkamah Ipoh, Perak (ICMC) di sini pada Khamis.

Tambah beliau, penggunaan mediasi juga mempunyai pelbagai kelebihan dan kebaikan.

“Pihak-pihak yang bertelingkah tidak akan bermusuhan berbanding dengan keputusan dibuat melalui perbicaraan.

“Dalam mediasi tidak ada pihak menang atau kalah, kedua-dua pihak menang selain menjimatkan masa mahkamah,” ujar beliau.

Namun kata Raus, penggunaan mediasi tidak bermakna  kes-kes tersebut dikeluarkan dari sistem Mahkamah.

“Kes-kes tersebut masih dalam sistem mahkamah dan apabila kes-kes dapat diselesaikan melalui mediasi, maka perintah persetujuan akan direkodkan dalam fail-fail berkenaan,” jelas beliau.

Justeru beliau mengesa peguam-peguam di negara ini supaya menyokong program mediasi berkenaan dengan menasihati anak guam masing-masing untuk memilih proses mediasi sebagai cara penyelesaian kes sebagai cara penyelesaian kes.

“Tambahan pula, program mediasi mahkamah ini tiada sebarang bayaran.

“Ia  percuma dan mediasi mahkamah ini dikendalikan oleh Hakim dan pegawai kehakiman yang terlatih,” ujarnya.

Pusat mediasi  pertama telah diwujudkan di Kuala Lumpur pada tahun 2011 kemudian diikuti Johor Bahru,  Shah Alam, Pulau Pinang dan terbahahru di Ipoh.