IPOH: Sejak berpindah ke premis baharu di Greentown Suria pada 1 Mac 2011, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan terus meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengurus Besar Pusat Perubatan Ar-Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, kini pusat perubatan itu menyediakan 16 perkhidmatan di samping lapan doktor pakar residen dan sembilan doktor pakar pelawat.

Menurutnya, sesuai dengan pusat yang menawarkan perubatan mesra ibadah, ia turut memperkenalkan perkhidmatan yang sesuai seperti seluar bersalin mesra aurat di samping bayaran yang berpatutan.

Di samping itu, ia turut menawarkan khidmat dialisis yang ketika ini mempunyai 11 kerusi dan akan ditambah 18 lagi pertengahan tahun 2020.

“Malah, pada tahun 2019, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan diiktiraf antara penyedia khidmat dialisis terbaik di Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Salleh berkata, mereka akan menganjurkan Kursus Pembedahan Tulang Pinggul dan Lutut yang dihadiri pakar-pakar bedah ortopedik dari seluruh negara.

Kursus dua hari bermula 7 hingga 8 Mac itu nanti disertai kira-kira 30 orang pakar termasuk dari Korea Selatan dan Australia.

Menurutnya, penganjuran kursus itu bakal meletakkan kedudukan Pusat Perubatan Ar-Ridzuan sebagai antara hospital ortopedik terbaik di negeri ini.

Katanya, kursus tersebut akan diketuai pakar bedah ortopedik, Dr. Loh Choong Sing yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam pembedahan pembentukan semula sendi tulang.

“Kursus ini diadakan dengan konsep bahawa idea dan pengalaman yang baik harus dikongsi dalam kalangan komuniti ortopedik.

“Kita juga akan mempamerkan pembedahan langsung kepada peserta kursus iaitu dua pembedahan penggantian penuh tulang pinggul dan tiga pembedahan penggantian penuh lutut,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata Khairul Salleh, melalui persidangan ini, pakar bedah ortopedik yang hadir dari seluruh Malaysia boleh menyaksikan prosedur-prosedur tersebut secara langsung.

Jelas beliau, ini termasuk cara-cara menjalankan pembedahan daripada pendekatan spesifik untuk mengetahui protokol cara teknik penyimenan dan prosedur implan secara terperinci.

“Turut diadakan pada program sama nanti ialah sesi ceramah yang akan diadakan di dewan persidangan semasa sesi pembedahan sedang dijalankan.

“Ceramah akan disampaikan oleh pakar jemputan iaitu Dr. Tai Cheh Chin iaitu pakar bedah dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Orthopaedic.

“Dua pakar bedah ortopedik dari Korea Selatan juga dijemput bagi menerangkan bagaimana pembedahan-pembedahan ini dijalankan di sana,” ujarnya.

Di samping itu, para peserta juga dapat mendengar penerangan mengenai perkembangan terkini dalam penggunaan teknologi komputer yang diselaraskan untuk prosedur pembedahan tulang pinggul dan lutut oleh penceramah khas, Pelet Goodman dari OrthAlign Inc. Australia.