PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof berkata, kerajaan kesal dengan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman yang mengenakan telekung semasa menunaikan umrah seperti wanita.

Beliau berkata perbuatan Muhammad Sajat atau lebih dikenali dengan panggilan Sajat mencemarkan imej Islam dan lebih buruk lagi, ia boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi.

“Kita merasa kesal sebab dia (Sajat) menjejaskan imej Islam sebagai seorang yang dalam kad pengenalannya lelaki dan dia lelaki.

“Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah perkara itu tidak ada kesalahan. Saya bercakap dari segi Islam, saya tidak bercakap dari segi hak asasi manusia atau apa.

“Masa pergi ke Mekah saya difahamkan ketika naik kapal terbang elok, pakai secara lelaki dan sebagainya tapi bila di Mekah, dia pakai telekung.

“Sudah tentu bila berpakaian telekung macam wanita, dia punya pergerakan, tempat yang dia pergi, tempat solat bersama dengan wanita dan ini menimbulkan ketidakselesaan. Saya terima aduan dari jemaah sendiri,” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas sesi townhall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Katanya, tindakan Sajat itu juga merupakan perbuatan menceroboh kawasan ibadah yang dikhaskan untuk wanita.

Beliau berkata, agensi pelancongan yang membawa Sajad sepatutnya sedia maklum dengan status lelakinya.

“Sudah sedia maklum bahawa Sajat ini adalah individu yang kontroversi dan saya pun tak tahu apa janji dia (Sajat) kalau dia pergi umrah, apa janji dia dari segi tidak menimbulkan perkara sensitiviti,” katanya sambil memaklumkan pihaknya akan mendapat penjelaskan lanjut daripada agensi pelancongan terbabit.

Mujahid berkata, pihaknya juga akan menunggu maklumat lebih jelas sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Sajat.

“Sajat perlu kembali kepada fitrah asalnya,” katanya.

Ketika ditanya adakah tindakan sajat itu akan menjejaskan kuata haji dari kerajaan Saudi, Mujahid berkata ia tiada kaitan.

“Pihak saya juga tidak dimaklumkan apa-apa maklumat (dari Saudi) kalau ada, saya orang pertama akan terima,” katanya.

Kontroversi terbaharu itu mendapat kecaman daripada orang ramai apabila Sajat memuat naik imej dia bersama ibu bapanya serta 2 anak angkatnya mengerja umrah di tanah suci.

Perkongsian tersebut dengan imejnya memakai telekung manakala pada beberapa perkongsian berbeza pula, dia mengenakan purdah. -FMT