NANNING (China): Perak akan mendapatkan kepakaran pemaju industri penternakan dan perusahaan tiram di bandar QinZhou, dekat sini, untuk dimajukan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata antara kepakaran yang ditawarkan oleh pihak dari wilayah Guangxi itu termasuk menguji kesesuaian air laut yang ada di Perak.

“Cuaca di QinZhou dengan Perak lebih kurang sama dan kita juga mempunyai persisir pantai yang panjang.

“QinZhou merupakan pengeluar terbesar tiram di wilayah Guangxi. Mereka menawarkan kepada kita bantuan teknikal untuk majukan penternakan tiram di Perak,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan kerja ke Nanning, pada Jumaat.

Zambry memulakan lawatan kerja tiga hari ke Nanning sejak 13 Sept lalu dan akan meneruskan misi sama ke Fukuoka, Jepun pada 17 Sept.

Selain itu, Zambry berkata perusahaan sarang burung yang dimajukan di Taman Perindustrian China-Malaysia di QinZhou juga boleh dipelajari untuk diaplikasikan di Perak.

Mengulas mengenai lawatannya, Zambry berkata banyak peluang dalam pelbagai bidang boleh diterokai bersama termasuk berkaitan industri makanan.

“Industri makanan terutama berkaitan halal berpotensi dimajukan secara bersama terdapat permintaan tinggi disebabkan oleh populasi umat Islam seramai 2 bilion di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA