IPOH: Walaupun tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Kesatuan Ragbi Perak (KRP) mensasar pingat emas untuk pasukan lelaki dan gangsa untuk pasukan wanita pada SUKMA XIX kali ini.

Ragbi akan dipertandingkan pada 15 dan 16 September ini di Stadium Ragbi yang dibina khas untuk SUKMA kali ini.

Timbalan Presiden KRP, Shamsul Munir Zaini berkata, sasaran itu bukan satu tekanan tetapi berdasarkan kesungguhan untuk mencipta sejarah selepas latihan pusat sejak setahun lalu.

“Selaku tuan rumah SUKMA 2018, KRP telah mengambil initiatif membawa jurulatih dari Fiji dalam usaha memantap pasukan ragbi negeri Perak agar sasaran dapat direalisasikan,” katanya kepada Suara Perak hari ini.

Terdahulu, di sebelah pagi, KRP menganjurkan program Qiamullai dan Majlis Penyampaian Kasut Kejohanan kepada kedua-dua skuad lelaki dan wanita di surau Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah di sini.

Program turut dihadiri Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia yang juga Presiden KRP, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Di dalam ucapanya, Shahrul Zaman menasihatkan setiap pemain agar fokus kepada setiap perlawanan dan menjaga displin serta diri dalam tempoh beberapa hari sehingga kejohanan berlangsung.

Beliau menekankan kepada tiga elemen kepada setiap pemain iaitu usaha, tawakal dan redha.

Walaupun tidak pernah memenangi sebarang pingat pada SUKMA, Perak mencatat sejarah muncul juara Piala Agong selepas 33 tahun pada 2016 di samping juara National 7’s (senior) dan naib juara National 7’s bawah 21 tahun (Pra SUKMA) awal tahun ini.

KRP menamakan 12 pemain skuad ragbi lelaki iaitu Nazrin Aiman Ahmad Taufiq, Muhammad Harith Iqbal Muhamad Anhar, Muhammad Firzuan Hamdan, Muhammad Muqri Dini Mohd Azizi (C), Muhammad Danish Mahfuz, Muhammad Shafiq Ikmal Ibrahim, Mohamad Firdaus M. Zahed, Muhammad Farid Mohd Fauzi, Wafi Amirul Wazir, Mohamad Shah Izwan Nordin, Nazmi Hakim Jamaludin dan Muhammad Khalil Azman.

Tiga lagi pemain simpanan untuk pertukaran sekiranya melibatkan kecederaan ialah Muhammad Azim Zainurin, Razali Ramlan dan Shahrul Izham Talib

Pengurus Pasukan ialah Mohd Hafiz Zulkifli manakala Ketua Jurulatih Digitaki Levaci dan Penolong Jurulatih, Mohd Amir Aswad Mat Saad.

Senarai 12 pemain skuad ragbi wanita pula ialah Hannani Syamimi Mohamad Yazid, Nurul Hazwani Munir, Puteri Nur Salwa Nadiah Haron, Aimi Nazifa Sha’ari, Nur Aliah Azhari, Arianna Mohd Herman, Farra Nur Shafeeda Anuar, Nurul Syazwani Amira Azham Shah, Nur Hanisah Harun, Wan Syaza Nur Farhana Maddaleh, Sharifah Thoiyeebah Syed Saffrizal dan Umi Athirah Syaiful Azman.

Pengurus Pasukan, Firdaus Ahmad; Ketua Jurulatih, Suhaimi Sudin dan Penolong Jurulatih, Mohamad Alif Asyraf Che Mohd Yusoff.