WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Saintis di Amerika Syarikat (AS) telah membangunkan ‘beg berisi cecair’ seperti rahim yang digelar sebagai peranti sokongan tambahan untuk penjagaan bayi pramatang, sekali gus meningkatkan peluang untuk hidup.

Dalam kajian praklinikal terhadap anak bebiri mendapati persekitaran rahim dan fungsi plasenta tiruan itu dapat membangunkan paru-paru dan organ lain bayi pramatang.

“Kira-kira 30,000 bayi di AS dilahirkan awal pada usia kandungan antara 23 dan 26 minggu. Pada usia itu, berat bayi pramatang itu adalah dalam lingkungan 500 gram dan peluang untuk hidup adalah sangat tipis. Kadar kematian adalah sehingga 70 peratus dan mereka yang dapat teruskan hidup mungkin berdepan kecacatan kekal,” kata ketua penyelidik, Alan Flake.

Menurutnya, matlamat utama kajian itu adalah untuk mencipta sistem tambahan yang mana bayi pramatang boleh bergantung pada rahim tiruan berisi cecair itu selama beberapa minggu.

-SinarHarian