Perbuatan seorang pekerja kedai pakaian yang merakam gambar dua wanita yang sedang mencuba pakaian di bilik persalinan, mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Alsaik, 28 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menghalakan kamera telefon bimbitnya di bawah pintu bilik persalinan dua beradik berusia 20 dan 16 tahun bagi mengaibkan kehormatan dengan maksud mengganggu kesantunan mereka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik persalinan sebuah kedai pakaian di Sunway Velocity, Cheras, pada 7.30 malam, 12 Mac lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
-MalaysiaKini