PETALING JAYA : Sekumpulan rakyat Malaysia ditahan kerana bersolat “tanpa permit” di sebuah masjid Uighur di wilayah Xinjiang, China.

Khir Ariffin yang mengetuai ekspedisi 8 warga Malaysia, termasuk beberapa pengamal media dari Malaysia ke Makkah, berada di China selama 17 hari berkata, masjid di gurun Gobi itu ialah satu-satunya masjid yang boleh dimasuki mereka kerana tidak dikawal pihak berkuasa.

Sejurus bersolat, katanya, mereka ditahan sepasukan polis dan tentera bersenjata yang menunggu di luar masjid.

Pengerusi Pertubuhan Kembara Amal itu berkata, pemandu pelancong yang dikenali sebagai Andy cuba mempertahankan mereka, tetapi gagal.

“Kelihatan seorang imam berusia yang lengkap berjubah sedang dimarahi seorang pegawai sangat bengis. Imam itu terduduk seorang menahan kemarahan dan menggayakan bahawa dia tidak bersalah akan hal ini.

“Mungkin mereka menyangka imam itu benarkan kami solat. Walhal setibanya kami di sana tidak ada sesiapa hanya kelihatan CCTV dan pintu ‘scanner’ seperti di ‘airport’,” tulisnya di Facebook minggu lalu.

Khir berkata, mereka kemudiannya dibawa ke sebuah perkampungan yang dipenuhi pegawai polis dan tentera, sebelum ditempatkan di “ruang balai tertutup bagaikan penjara”.

Katanya, mereka hanya dibebaskan beberapa jam kemudian hasil rundingan Andy dengan pihak berkuasa.

“Sesekali kedengaran Andy meninggikan suara seolah berjuang mempertahankan kami. Sesekali diam yang panjang dengan reaksi menahan geram dan kemarahan bila ketua tentera mempersoalkan di dalam nada tinggi serta kasar.

“Ketika berjam lamanya kami menunggu, akhirnya muncul satu tubuh memberi salam memperkenalkan diri sebagai ketua polis di situ. Beliau secara diplomasi memohon maaf kepada kami.

“Kelibat tentera komunis yang menangkap kami sudah tidak kelihatan. Kami merasa lega namun kecewa kerana saudara Muslim sendiri menjadi alat untuk menafikan hak kami bersolat di masjid.

“Saya yakin kami dibebaskan atas sebab kami membawa pasukan media dan objektif kami bukanlah ingin membuat liputan berkaitan apa yang berlaku di Xinjiang.”

Khir berkata, walaupun lega dibebaskan, tetapi mereka kecewa kerana umat Islam berhak bersolat di masjid.

Katanya, mereka juga diekori pihak berkuasa sejak memasuki sempadan Xinjiang.

“Bagaikan ada mata-mata yang menjelma dalam pelbagai rupa. Ada yang menyamar sebagai tukang sapu sampah, orang awam, peniaga dan pelbagai watak.”