KUALA LUMPUR : Kumpulan tabligh yang menyertai himpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau ‘self quarantine’ selama 14 hari.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai ada sebilangan jemaah tabligh dari Malaysia yang menyertai himpunan itu ketika banyak negara sedang melakukan pencegahan bagi mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanapun, penganjur dilaporkan membatalkan himpunan berkenaan pagi ini.

“Ramai mesej saya tentang perhimpunan tabligh di Indonesia semalam kerana risau ia merebakkan COVID-19, khususnya kepada rakyat Malaysia yang hadir.

“Lega, pihak berkuasa dan penganjur sudah putuskan untuk tangguhkan perhimpunan di Gowa berkenaan,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata arahan mewajibkan mereka untuk menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan adalah tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak semalam hingga 31 Mac ini.

Media melaporkan, acara himpunan, Ijtima Dunia 2020 Zon Asia membabitkan ribuan masyarakat Islam di wilayah Sulawesi Selatan dibatalkan berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Sejak beberapa hari lalu, pihak berkuasa menasihati mereka membatalkan program Ijtima Asia anjuran jemaah tabligh yang dijangka dihadiri umat Islam dari seluruh dunia.

Himpunan itu dijadualkan berlangsung di Gowa, berdekatan bandar Makassar.

Acara itu menyamai perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling yang menyebabkan ratusan peserta yang hadir dijangkiti wabak COVID-19. -BH