BAGAN SERAI: Rakyat perlu mengutamakan kesejahteraan Malaysia dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang maju.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat harus bertanggungjawab dalam merealisasikan matlamat ini dengan menolak sebarang bentuk fitnah yang sengaja dilemparkan pembangkang yang ingin melihat ekonomi negara terjejas.

Menurut beliau, dibimbangi sekiranya ekonomi negara terjejas ianya akan menyebabkan pelbagai perkara negatif berlaku sekaligus mengakibatkan rakyat merana.

“Soal petrotism bukan soal mengebarkan bendera sahaja,  soal kita menyanyikan lagu-lagu sahaja tindakan-tindakan rakyat Malaysia mesti menggutamakan kesejahteraan Malaysia termasuklah menolak segala bentuk fitnah yang tidak benar  yang boleh memberikan kesan besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian serentak  persidangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri Bagan Serai di Dewan SMK Abu Bakar AL-Baqir, Sungai Gedong pada Ahad. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat.

Annuar mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membidas pihak yang tidak patriotik  yang menyebar berita dan maklumat palsu hingga hampir mengakibatkan negara kehilangan pelaburan RM31 bilion daripada Saudi Aramco dalam projek kompleks bersepadu penapisan minyak dan petrtokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Najib berkata, Saudi Aramco pada awalnya keberatan melabur berikutan maklumat kononnya Malaysia sebuah negara berisiko tinggi kerana situasi politik tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bankrap dan kerajaan tidak mampu membayar gaji penjawat awam.

Terdahulu dalam ucapannya, Tan Sri Annuar meminta ahli umno di seluruh negara bukan sahaja bertindak menangkis segala fitnah dan berita palsu yang disebarkan pihak pembangkang malah memberikan penjelasan serta penerangan kepada rakyat berkaitan pembangunan yang dibawa kerajaan kepada rakyat.