Kota Tinggi: Masyarakat diingatkan supaya tidak terus leka dan alpa mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid- 19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, ramai yang sedar mengenai punca dan cara mengekang jangkitan virus ini.

Katanya, ketika itu masyarakat peka dan mendengar nasihat penjagaan diri, mencuci tangan, mengamalkan penjarakan fizikal sosial, mengelak 3S, iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.

“Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kita lihat amalan ini nampaknya belum menjadi budaya. Ada yang bersesak-sesak ketika membeli belah dan menggunakan lif selain tidak memakai pelitup muka.

“Bagaikan tidak takut maut. Mereka hanya risau dan takut apabila mendengar kes meningkat dan bila ada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Town Hall Pembudayaan Norma Baharu Dldalam komuniti bagi mencegah penularan Covid-19 di Desaru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Chong Chee Keong; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, amalan norma baharu seharusnya menjadi budaya masyarakat sepanjang masa, bukannya hanya ketika berlaku peningkatan kes aktif wabak berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang sebelum ini berkesan dalam memerangi wabak denggi kini akan diaplikasi dalam memerangi wabak Covid-19 di seluruh negara.

Katanya, sukarelawan COMBI di seluruh negara akan digerakkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap norma baharu dalam kalangan masyarakat.

“Sehingga September lalu, terdapat sebanyak 3,007 pasukan COMBI di seluruh negara membabitkan 26,191 sukarelawan yang akan digerakkan bagi kita memerangi Covid-19.

“Di Johor ada 25 pasukan COMBI yang berdaftar dengan pembabitan seramai 1,530 sukarelawan yang akan digerakkan bagi membantu melaksanakan program kesedaran norma baharu,” katanya.