KUALA LUMPUR:“The public doesn’t like us right now”.

Itu tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang berpendapat rakyat tidak menyenangi situasi politik semasa ketika ini lebih-lebih lagi selepas peningkatan kes COVID-19 secara drastik.

Malah, Shahril turut menyatakan, terdapat kemungkinan rakyat menyalahkan ahli politik ketika ini yang menyebabkan jangkitan bertambah.

“Sekarang rakyat tidak melihat kita (ahli politik) sebagai ejen atau entiti yang membantu dalam situasi (penularan COVID-19) ketika ini.

“Malah, dalam kalangan sentimen rakyat, mereka menganggap ahli-ahli politik adalah penyebab kepada jangkitan bertambah.

“Untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang punca jangkitan meningkat ketika ini adalah terlalu rumit dan hakikatnya kita perlu sedar bahawa ahli politik sedang dilihat oleh rakyat,” katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Justeru, Shahril menyeru agar ahli politik untuk meletakkan kepentingan kesihatan rakyat negara ini sebagai perkara utama berbanding kepentingan politik terutamanya pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menjelang Pilihan Raya Umum nanti.

Pada masa sama, Shahril Hamdan secara peribadi berpendapat tidak perlu mengadakan PRU dalam masa terdekat terutama ketika negara masih memerangi COVID-19 kerana ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.