PERANGKAAN Polis Sabah menunjukkan tekanan hidup di bandar dan masalah keluarga dipercayai antara punca utama kes cubaan bunuh diri di Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, sejak tahun 2015 hingga Julai 2018, sebanyak 39 kes bunuh diri manakala 46 kes cubaan bunuh diri direkodkan di negeri ini.

Menurut beliau, daripada 46 kes cubaan bunuh diri mendapati, punca tekanan hidup mencatatkan rekod paling tinggi iaitu sebanyak 17 kes diikuti masalah keluarga 16 kes.

“Kejadian cubaan bunuh diri banyak berlaku di kawasan bandar iaitu di Kota Kinabalu sebanyak 14 kes diikuti Penampang empat kes. Siasatan juga mendapati punca kes cubaan bunuh diri ini adalah disebabkan tekanan hidup iaitu masalah kewangan, tiada pekerjaan dan masalah dalam kehidupan.

“Terdapat juga punca lain iaitu masalah membabitkan hubungan kekeluargaan dan cinta,” katanya ketika ditemui NSTP, baru-baru ini.

Jauteh berkata, daripada 39 kes bunuh diri, 31 kes pelakunya adalah lelaki dan lapan lagi pelakunya wanita yang banyak berlaku di kawasan luar bandar iaitu tujuh kes di Kota Belud dan diikuti empat kes di Keningau.

“Lingkungan umur mereka yang terbabit dalam kes bunuh diri dan cubaan bunuh diri di Sabah berusia antara 18 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka tidak bekerja atau bekerja sendiri,” katanya.

Tambah Jauteh, hasil siasatan mendapati kebanyakan cara yang digunakan bagi kes bunuh diri adalah dengan menggantung diri manakala cubaan bunuh diri adalah dengan kelar diri diikuti terjun bangunan.

“Kes berkaitan bunuh diri diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) manakala bagi kes cubaan bunuh diri disiasat mengikut Seksyen 309 iaitu cuba melakukan kesalahan membunuh diri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kempen pengukuhan keluarga perlu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat – hmetro

INFO kes bunuh diri di Sabah – 2015 hingga Julai 2018

•39 kes bunuh diri

•46 kes cubaan bunuh diri

•17 kes cubaan bunuh diri akibat tekanan hidup

•16 kes cubaan bunuh diri akibat masalah keluarga