KUALA LUMPUR : Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, yakin Tun Dr Mahathir Mohamad bukan dalang di sebalik gerakan membentuk gabungan baharu kerajaan tanpa DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.

Katanya, Dr Mahathir tidak mungkin meletak jawatan Perdana Menteri jika beliau adalah pencatur gerakan yang menyaksikan BERSATU dan sebahagian Ahli Parlimen PKR, keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak rasa Tun Dr Mahathir dalang gerakan ini. (Jika tidak) kenapa dia nak letak jawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan kediaman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya desas-desus mengatakan Dr Mahathir antara individu yang bertanggungjawab menggerakkan cubaan menyingkirkan DAP, PKR dan AMANAH daripada kerajaan.

Ia berikutan BERSATU hari ini mengumumkan keluar daripada PH, disusuli pengumuman Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa 11 Ahli Parlimen PKR keluar daripada parti itu.

Ramasamy berkata, kehadirannya ke kediaman Anwar kira-kira jam 4.20 petang ini adalah sebagai tanda solidariti.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu masih berada di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya manakala Ramasamy terus meninggalkan lokasi kerana perlu kembali ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba ke kediaman itu kira-kira jam 4.45 petang.

Beliau hanya tersenyum sambil melambai kepada pemberita sebelum bergegas masuk ke dalam rumah. -BH