TERSERET lima meter dengan rambut ‘terlekat’ pada rantai motosikal. Itu situasi perit seorang wanita selepas diragut lelaki di Pusat Komersial Boulevard, Miri, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun diragut suspek berusia 24 tahun yang menunggang motosikal.

Menurut sumber, mangsa yang juga pekerja farmasi itu sedang berjalan sebelum diragut dari arah belakang mengakibatkan dia terjatuh.

Sumber berkata, lebih malang, rambut mangsa tersangkut pada rantai motosikal suspek sehingga terseret sejauh lima meter.

“Suspek turut hilang kawalan lalu terjatuh sebelum ditahan orang awam,” katanya.

Katanya, mangsa cedera di beberapa anggota badan dan dilihat keadaan terlentang dengan keadaan rambutnya masih ‘terlekat’ pada rantai motosikal.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam lalu dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, suspek turut dibelasah orang awam yang berang dengan kejadian itu sebelum menyerahkannya kepada polis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan – hmetro