BATU GAJAH: Kawasan tarikan pelancongan, Kapal Korek Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5) di sini akan diperkemaskan dengan pelbagai aktiviti ekopelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting dalam memastikan pengunjung diberi pengalaman yang unik dan berbaloi.

692b14f4-a564-4388-9030-6aa32eda684b“Kita mahu pelancong yang datang dari jauh dapat menghabiskan masa mereka di sini lebih lama dengan pelbagai aktiviti yang boleh dibuat.

“Antara yang dicadangkan ialah aktiviti air separa lasak seperti Ninja Warrior atau sukan-sukan rakyat yang saya rasakan boleh menarik minat golongan muda untuk datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Gelanggang Rakyat dan Karnival Mini Keselamatan di TT5 di sini pada Selasa.

Majlis itu dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

f0beee60-c680-4d6e-8296-d2c510e9a818

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (PMB), Datuk Aminuddin Hashim juga turut hadir.

Tambah Dr. Zambry lagi, usaha mempromosi kawasan ikon pelancongan negeri Perak itu penting kerana ia mempunyai nilai sejarah yang begitu besar kepada negara khususnya dalam industri bijih timah.

“Ianya penting dalam kita mempromosikannya sebagai tapak pelancongan, dalam masa sama kita mendidik pengunjung mengenai sejarah industri perlombongan bijih timah dan berkenaan kapal korek ini sendiri.

“Nilai sejarah dan aktiviti-aktviti menarik inilah yang kita mahu gabungkan dan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasainya. Sekiranya kawasan ini menjadi terkenal sekaligus ia akan menjadi pemangkin pembangunan untuk kawasan sekitar,” jelas beliau.

Dalam program tersebut, Dr Zambry turut merasmikan Palong @ TT5 iaitu salah satu aktiviti baharu yang boleh dibuat di kawasan berkenaan di mana pengunjung boleh merasai pengalaman mendulang biji timah secara tradisional.

Menteri Besar berkata, proses membaik pulih TT5 yang dijalankan oleh Amanjaya TT5 iaitu anak syarikat milik penuh PMB kini dalam fasa terakhir dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober ini.

Pada 2015, kerajaan negeri telah mengamanahkan PMB untuk membaikpulih dan memulihara TT5.

Antara komponen dan aktiviti yang telah diwujudkan di TT5 setakat ini ialah kawasan bazar, “Tin Can Diner” dan Palong @ TT5.

Beberapa komponen lain yang akan ditambah pada masa hadapan ialah Gudang @ TT5, Tebing @ TT5, Kampung @ TT5, Ruang @ TT5, Pekan @ TT5 dan Balai @ TT5.