BATU GAJAH : Satu rangka manusia dipercayai lelaki ditemukan dalam kawasan kebun getah di Kampung Changkat Belingkor di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, rangka tersebut ditemukan oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis pada pukul 3.15 petang.

Katanya, pemeriksaan di lokasi tersebut menjumpai tengkorak dan beberapa tulang dipercayai milik manusia berselerak dalam keluasan 15 meter radius.

“Kita turut menemui baju, kain dan tali pinggang yang disyaki milik mangsa di lokasi kejadian.

“Berdasarkan penemuan itu, mangsa dipercayai adalah seorang lelaki. Rangka tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan setakat ini dibuka mengikut kes mati mengejut sehingga punca kematian mangsa diperoleh.

“Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dalam tempoh terdekat diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 053629222 bagi membantu siasatan,” katanya