IPOH, 17 DIS: Kerajaan negeri diminta untuk memberi perhatian lebih serius berhubung isu banjir kilat dengan merangka pelan yang efektif bagi mengatasi masalah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu melakukan pemantauan terhadap sistem saliran dan perparitan di kawasan yang sering dilanda banjir.

“Saya dimaklumkan masalah kekurangan staf menjadi sebab JPS tidak dapat turun padang lebih kerap memantau kawasan yang sering dilanda banjir.

“Saya berharap supaya kerja-kerja pembersihan longkang, parit dan sungai dapat dilakukan dengan lebih kerap dan bukannya sekadar dua tiga kali setahun.

“Hal ini kerana kita telah tahu bila musim banjir akan berlaku dan jadi, pastinya kita sudah mempunyai gerak kerja bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika membahas Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Sementara itu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) ketika bangun mencelah berkata, sebelum ini banjir kilat tidak dikategorikan sebagai banjir yang sebenar sekaligus tidak layak untuk menerima bantuan.

“Baru-baru ini, kawasan saya telah beberapa kali telah dilanda banjir dan menyebabkan kerugian kepada masyarakat setempat.


“Namun, banjir kilat tidak termasuk sebagai kategori bencana dan kita tidak memberikan bantuan kepada mangsa.


“Oleh itu, saya memohon agar kerajaan negeri dapat memasukkan banjir kilat sebagai salah satu bencana yang layak untuk menerima bantuan,” ujarnya.