KUALA LUMPUR, 4 DIS : Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui jika diikutkan perasaan, timbul rasa ingin merajuk selepas melihat majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak lagi menyokong beliau.

Bagaimanapun, sebagai pemimpin, beliau perlu berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Perasaan saya mungkin sudah pergi ke nombor lapan tapi kelangsungan perkhidmatan kerajaan itu mesti didahului.

“Saya akan berbincang dengan kepimpinan dari UMNO, Pas dan sebagainya untuk kita rujuk perkara berkenaan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Jumaat.

Dalam pada itu, ADUN Chenderiang itu memaklumkan beliau menerima perkenan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada petang ini.

Bercakap kepada Astro AWANI, Ahmad Faizal berkata, dalam pertemuan itu, beliau akan mempersembahkan apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada pagi tadi.

“Saya amat-amat yakin dan percaya Sultan akan buat satu keputusan yang tentunya memikirkan tentang kebaikan kepada negeri dan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, beliau akan menghadap Sultan Nazrin pada pukul 5 petang ini namun tidak tahu siapakah individu lain yang akan turut sama dalam pertemuan itu. -Awani