KUALA LUMPUR: Kejayaan dua pemain negara, Rashid Baharom dan Shazril Irwan Nazli menempatkan diri beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) 2018 diharap menjadi batu loncatan kepada pemain lain untuk mengikut jejak langkah mereka.

Bekas pemain negara, Nor Azlan Bakar yang menjadi individu penting membuka laluan kepada kedua-dua pemain itu beraksi bersama juara Perancis, Racing Club de France (RCF) di EHL berkata, peluang itu seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Rashid dan Shazril.

Ini kerana katanya, bukan mudah untuk pemain negara beraksi di EHL yang setaraf Liga Juara-Juara di dalam bola sepak dengan kedua-duanya bakal mencipta sejarah selaku pemain Malaysia pertama yang akan beraksi pada saingan berprestij itu.

“Mereka dilihat sebagai pembuka jalan kepada pemain lain untuk cuba menempatkan diri beraksi di EHL.

“Lagipun, impian melihat pemain Malaysia beraksi di liga itu sudah lama dinanti-nantikan oleh kami kerana bukan mudah beraksi di sana.

“Jadi, kepada kedua-dua pemain itu, ambil peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.
PEMAIN THT, Faizal Saari (kanan) diasak pemain TNB, Shazril Irwan Nazli (kiri) pada perlawanan Liga Hoki Piala Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Januari lalu. – Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Jelas Azlan, pihak kelab menghubunginya untuk mendapatkan pemain import dari Malaysia dan beliau terus memberikan beberapa nama yang dirasakan sesuai serta mempunyai keupayaan beraksi di tahap tertinggi.

“Barisan pemain negara sebenarnya juga berminat untuk beraksi tetapi mereka terikat dengan jadual padat seperti Piala Sultan Azlan Shah serta Sukan Komanwel.

“Jadi, saya mencadangkan beberapa nama yang dilihat masih mempunyai tahap beraksi di pentas antarabangsa dan kelab akhirnya memilih Rashid serta Shazril.”

Tambah Azlan yang kini aktif membimbing skuad pembangunan TNB Thunderbolts, selain beraksi di EHL, kedua-dua pemain itu juga perlu beraksi bersama RCF di saingan liga hoki domestik mereka.

“RCF adalah kelab yang menduduki kelompok teratas di saingan liga dan dibarisi antara enam hingga tujuh pemain kebangsaan Perancis,” katanya.

RCF adalah juara bertahan Liga Hoki Perancis dengan pencapaian terbaik pada kempen EHL adalah mara ke suku akhir bagi musim 2016/2017 – berita harian