PETALING JAYA: Ratusan penghantar Foodpanda membanjiri kediaman Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas diundang untuk dialog membincangkan masalah mereka susulan tunjuk perasaan ekoran skim pembayaran baru.

Penunggang Foodpanda mendakwa skim baru itu, yang berkuatkuasa 30 Sept lepas, mengurangkan pendapatan mereka.

Mereka datang ke kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya seawal 8 malam walaupun hujan renyai.

“Saya ingin dengar suara anda supaya isu ini dapat dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu,” kata Syed Saddiq di Facebook hari ini.

Media melaporkan skim baru itu memansuhkan bayaran mengikut jam tetapi menaikkan upah bagi setiap pesanan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam dengan upah antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan berdasarkan prestasi.

-FMT