IPOH: Pengusaha pusat karaoke keluarga memohon kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula kerana pendapatan mereka terjejas teruk sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga sekarang.

Dalam masa sama, mereka berjanji akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya dibenarkan beroperasi kelak.

Jurucakap mereka, Chan Yat Fong berkata, terdapat hampir 20 pusat karaoke keluarga di Perak yang melibatkan lebih 200 pekerja tetap dan 200 pekerja sambilan.

“Sampai sekarang sudah tiga bulan kita tak boleh beroperasi lagi, tetapi gaji kena bayar, sewa kena bayar, di samping macam-macam kerosakan, kerana lama tidak digunakan, contohnya penghawa dingin perlu diselenggara.

“Keadaan memang susah sekarang. Kami memohon kebenaran daripada kerajaan untuk bagi kita beroperasi, kita boleh mengikut SOP macam restoran.

“Kami juga akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mengikut SOP yang ditetapkan untuk bersama-sama mencegah COVID-19,” katanya dalam sidang media khas bersama beberapa pemilik pusat karaoke keluarga di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap pemilik pusat hiburan itu mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM40,000 sebulan kerana menampung pelbagai bayaran seperti gaji, sewa premis, cukai dan lesen.

Chan berkata, mereka telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan minggu lalu di samping mengemukakan SOP yang hampir sama dengan operasi restoran.