IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menerima rayuan yang dikemukakan sekali gus membolehkan penonton hadir menyaksikan perlawanan pembuka tirai Liga Super menentang Pahang di Stadium Perak, malam esok.

“PAFA berterima kasih kepada FAM kerana prihatin dengan kehendak dan perasaan ahli gabungan. Keputusan ini besar ertinya buat kami khususnya penyokong Perak. Bayangkan jika kami terpaksa memulakan kempen 2017 dengan stadium kosong,”

kata presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Selain menerima rayuan berkenaan, Jawatankuasa Rayuan FAM turut memutuskan hukuman tiga perlawanan tanpa penyokong ke atas The Bos Gaurus dikurangkan kepada dua dan ia hanya dikuatkuasakan pada aksi kedua Liga Super menentang Melaka United, 4 Februari ini dan pusingan kedua Piala FA, 14 Februari. Untuk perlawanan Piala FA itu, skuad The Bos Gaurus dijadualkan menentang pemenang antara pasukan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM FC) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC).

Hukuman bermain tanpa penonton di gelanggang sendiri musim ini diputuskan susulan keganasan yang dicetuskan penyokong ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, 6 Ogos tahun lalu. Selain itu, FAM turut mendenda PAFA sebanyak RM47,500.

Sehubungan itu, Puhat yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyeru penyokong Perak supaya menjaga tingkah laku mereka supaya tidak menghadapi masalah sama dengan FAM lagi. “Cukuplah. Jangan timbulkan masalah lagi,” katanya.

– Berita Harian –