IPOH: Bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid dilantik Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Omar Mammah yang bertukar jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah selepas berkhidmat selama tujuh bulan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di IPK negeri di sini hari ini.

Razarudin, 56, yang berkhidmat 34 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu sejak 27 Disember 1982, sebelum ini memegang jawatan Timbalan Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Pulau Pinang.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, beliau komited untuk menyokong kepemimpinan Polis Perak dalam memantapkan disiplin dan integriti pegawai dan anggota polis di negeri berkenaan.

“Saya akan meneruskan legasi beliau (Omar) untuk memastikan integriti pegawai dan anggota polis di negeri ini berada pada tahap tertinggi,” katanya ditemui pada majlis serah terima tugas berkenaan – berita harian