MADRID: Bek kiri Real Madrid Marcelo mengakui dia bernasib baik tidak menyebabkan penalti dalam keputusan 2-2 menentang Bayern Munich di Bernabeu, keputusan yang membolehkan juara bertahan itu mara ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan agregat 4-3.

Pertahanan Brazil itu menahan rembatan Joshua Kimmich dalam kotak penalti di akhir babak pertama ketika permainan terikat 1-1, tetapi pengadil dari Turki Cuneyt Cakir sekadar memberikan sepakan sudut.

Kimmich meletakkan Bayern di depan tetapi Karim Benzema segera menyamakan kedudukan dan penyerang Perancis itu menjadikan kedudukan 2-1 untuk Madrid sejurus selepas rehat. James Rodriguez kembali menyamakan kedudukan untuk Bayern.

“Bola terkena tangan, saya rasa ia penalti,” kata Marcelo. “Bohong jika saya kata tidak kena, tetapi itulah bola sepak.

“Saya tidak bercakap tentang pengadil, tetapi jelas kadang-kadang situasi berpihak kepada anda dan ada kala tidak. Apa saja terjadi, anda perlu teruskan permainan.”

Juara Bundesliga itu turut dinafikan penalti selepas penyerang mereka Robert Lewandowski dijatuhkan oleh kapten Real Sergio Ramos dalam kotak penalti. – REUTERS