SIMPANG PULAI – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Perak tidak menolak kemungkinan rekahan yang menjejaskan penempatan Orang Asli di Kampong Pawong, Pos Raya, di sini berpontensi untuk menjadi lebih besar.

Timbalan Pengarahnya, Basharuddin Ismail, berkata, kajian yang dilakukan pihaknya sejak semalam mendapati saiz lebar rekahan sepanjang 50 meter itu telah membesar dari 1.2 meter semalam kepada lebih 1.6 meter pagi tadi.

“Kita akan membuat kajian dengan melihat rekod lama topografi kawasan ini dan dibandingkan dengan sekarang, dari situ kita akan tahu yang mana tanah tambakan serta yang dipotong untuk membuat penempatan ini.

“Hasil kajian itu nanti baru kita boleh dapat maklumat tepat dan pastikan status sebenar kawasan ini sama ada ia selamat atau tidak, dari pemerhatian kasar dan buat masa sekarang ia tidak selamat,” katanya pada sidang media ketika melakukan lawatan ke tapak rekahan berkenaan pagi tadi.

Tambah beliau, pihaknya akan memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menjalankan kajian tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang Selasa itu, beberapa buah rumah di kampung berkenaan mengalami keretakan selepas dipercayai berlakunya pergerakan tanah.

Susulan itu, 38 mangsa melibatkan enam buah rumah telah dipindahkan ke tempat lebih selamat selepas pihak berkuasa khuatir ia akan menjadi lebih serius.

Basharuddin berkata, rekahan itu berkemungkinan berlaku susulan hujan lebat sepanjang hari dan bukan kerana gempa bumi seperti yang diviralkan.

“Ada yang menviralkan kononnya berlaku gegaran, saya nafikan berita itu kerana penduduk dan juga anggota bomba yang berada di tempat kejadian tidak merasakan sebarang gegaran,” ujarnya.

Penempatan di kampung tersebut yang terletak 14 kilometer dari Simpang Pulai melalui jalan ke Cameron Highlands dikatakan dibuka sekitar tahun 2008 dan mempunyai 15 buah rumah serta sebuah surau.

Rekahan dengan kedalaman 1.7 meter itu telah menyebabkan sebuah stor surau runtuh dan dua buah rumah mengalami keretakkan.