KUCHING – Usia baru 16 tahun tetapi sudah buat jenayah mengedar dadah. Itulah kisah seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini yang ditangkap bersama 224 gram dadah jenis syabu.

Remaja itu diberkas di sebuah rumah kosong di Jalan Astana di sini pada pukul 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai (gambar kecil) berkata, serbuan di rumah yang disyaki dijadikan markas membungkus sebelum mengedar dadah itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

Menurut beliau, semasa serbuan, polis mendapati hanya suspek berada di rumah tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek berlagak seperti tiada apa-apa berlaku sebelum dia membuang dadah tersebut,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

-myMetro