KOTA BHARU: Akibat mempunyai masalah keluarga, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kiri kejadian di jambatan Kampung Kerinting, Gua Musang, malam tadi.

Namun, cubaan remaja itu yang mengelar pergelangan tangan dengan menggunakan pisau pemotong sayur kejadian jam 11.45 malam, berjaya dipujuk oleh anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Penyelamat Gua Musang, Awang Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.52 malam dan seramai 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita mendapati remaja itu sedang menjerit dan pergelangan tangan kirinya berdarah ekoran dikelar dengan pisau pemotong sayur.

“Remaja itu juga cuba terjun dalam sungai, namun dipujuk oleh penduduk kampung dan anggota bomba supaya tidak bertindak sedemikian.

“Kita mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk remaja itu yang kemudian menyerahkan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil percakapan, pihaknya mendapati remaja itu mempunyai masalah keluarga.

Beliau berkata, remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada polis – berita harian