KUALA KANGSAR : Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang lebih 12 jam ketika singgah di Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Chuar, Kati di sini semalam.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai Izzudin Syuib bersama tiga rakannya dalam perjalanan dari Baling, Kedah menuju ke Kuala Lumpur telah singgah ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Maghrib.

Mangsa dikatakan mahu pergi ke tandas di bahagian belakang masjid berkenaan sebelum disedari hilang ketika masuk waktu Isyak.

Pencarian awal yang dilakukan oleh penduduk kampung bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hanya menemui selipar yang dipercayai dipakai oleh mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.05 pagi.

“Seramai 32 anggota termasuk polis dan APM telah digerakkan untuk mencari mangsa.

“Lokasi terakhir mangsa adalah di kawasan masjid tersebut. Operasi mengesan mangsa masih diteruskan,” katanya.

-SINARHARIAN