MIRI: Tawaran kadar bunga terendah, kelulusan segera dan tanpa penjamin antara ‘ayat manis’ tertera pada 700 risalah pinjaman along diedarkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Pusat Komersial Pelita di sini, pagi kelmarin.

Bagaimanapun, kegiatan remaja terbabit dikesan polis sebelum ditahan kira-kira jam 11 pagi untuk tindakan lanjut.

Sumber berkata, remaja berasal dari Johor itu dikesan mengedar risalah berkenaan di sekitar bandar raya ini sejak beberapa minggu lalu.

“Risalah berkenaan turut menunjukkan jadual pembayaran balik yang fleksibel bagi mengaburi mata peminjam.

“Padahal, ia adalah pinjaman tidak berlesen dan bakal menjerat peminjam,” katanya.

Menurut sumber, pelbagai kaedah pinjaman ditawarkan, antaranya pinjaman peribadi, perniagaan dan pelbagai lagi bagi menarik mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja berkenaan.

Katanya, tangkapan dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri diketuai Inspektor Jegathesan Arumugam.

“Sebanyak 700 risalah ditemui di dalam beg sandang suspek. Satu unit telefon suspek turut dirampas.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Aldrin berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya – berita harian