TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar sebuah kereta dalam kemalangan di KM 19, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa, Mohd Zamir Mahrojan, 20, yang bekerja kampung menunggang motosikal Yamaha RXZ tidak sempat mengelak dan melanggar kereta Perodua Myvi dipandu seorang kerani wanita berusia 40 tahun yang sedang memasuki satu simpang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Yahaya Hassan berkata  akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan manakala cermin besar hadapan sebelah kiri kereta Perodua Myvi pula pecah selain remuk.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Katanya, berdasarkan bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa pada jam 1 pagi, kematian dipercayai berpunca akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tangkapan telah dibuat serta diberikan jaminan polis.