Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KAMPUNG GAJAH: Malang tidak berbau. Itulah yang terjadi dalam sebuah kenduri di Kampung Tersusun Bukit Chawi di sini, petang semalam.

Kemeriahan suasana kenduri bertukar sedih apabila terjadi tragedi yang meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Remaja itu, Muhamad Khairul Syamril Sauffi maut setelah ditimpa sebatang pokok kelapa sawit tumbang ketika dia sedang mengambil makanan di khemah yang dipasang di halaman tuan rumah.

Mangsa maut akibat kecederaan parah di kepalanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Muhamad Zainal Abdullah berkata, mangsa dibawa ke Klinik Ulu Dedap untuk diberikan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Muhamad Zainal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.