TAPAH: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 0.5 Jalan Tapah – Cameron Highlands, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Kong Weng Kin, 19, yang beralamat di Taman Tapah, Jalan Pahang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi, ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan menuju ke arah Cameron Highlands apabila sampai di tempat kejadian telah bergesel dengan sebuah lori yang menuju ke arah yang sama sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ekoran kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Tapah.

Bedah siasat akan dijalankan pada di Unit Forensik Hospital Tapah, petang ini.

Katanya, pemandu lori berusia 40 tahun yang beralamat di Langkap, dekat sini, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wan Azharuddin berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pengangkutan Jalan 1987.