Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh van dari belakang si Kilometer 78, Kampung Jenalik Hilir, di sini, pagi Rabu.

Nur Syaznieza Abdullah, 14, dikatakan baru pulang dari menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan Jenalik sebelum terlibat kemalangan dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisent Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi oleh Suara Perak pada petang Rabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah van dipandu seorang lelaki warga Thailand bersama seorang penumpang dari negara sama datang dari arah Ipoh menghala ke Gerik.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu van tidak nampak motosikal ditunggang mangsa yang berada di tengah jalan dipercayai untuk masuk ke simpang rumahnya.

“Van tersebut kemudiannya melanggar motosikal itu dan menyebabkan remaja perempuan itu tercampak dari motosikalnya. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Kuala Kangsar dan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan terlibat dalam kemalangan itu akan dibawa ke Puspakom Taiping untuk diperiksa.

“Selain itu, rakaman percakapn daribsaksi juga akan dibuat selain siasatan terperinci di lokasi kejadian. Sampel urin pemandu juga akan diambil,” ujarnya.