JASIN: Seorang remaja lelaki maut selepas tercampak daripada motosikal ditungganginya dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 8 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Batu Gajah, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Muhammad Hairy Shamsul,18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Ayer Molek bersama rakannya, Muhammad Ikhmal Hakim Zulkifly,18, dalam perjalanan dari Batu Gajah menghala ke pusat bandar raya.

Sumber berkata, ketika kejadian motosikal jenis Yamaha 125ZR masing-masing ditunggangi Muhammad Hairy dan Muhammad Ikhmal bergesel sesama sendiri, sebelum motosikal Muhammad Hairy dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang motosikal jenis EX5 ditunggang Lim Hock Guan, 57, dari arah sama.

“Akibat perlanggaran kuat itu, mangsa tercampak di atas jalan dan cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin.

“Hock Guan cedera di bahagian tangan, manakala Muhammad Ikhmal pula cedera di bahagian muka. Kedua-dua mereka kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga kenderaan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian