KUALA TERENGGANU: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) hiperaktif bertindak membakar rumah keluarganya di Kampung Gong Tok Nasek di sini malam tadi selepas dikatakan terdengar ‘arahan’ arwah ibunya.

Tindakan remaja OKU berusia 14 tahun itu menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan yang diduduki mereka musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan.

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, berkata, remaja OKU itu mendakwa melihat arwah ibunya yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu sebelum disuruh melakukan perbuatan tersebut.

Katanya, ketika kejadian cucu saudaranya tinggal bersendirian tanpa ditemani bapa dan neneknya.

“Saya nampak cucu saudara saya merakam gambar rumahnya sambil menangis, saya tanya sebab apa bakar dan dia kata arwah ibu yang suruh.

“Dia mengaku menggunakan mancis, kertas, lilin dan kain untuk membakar rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Juriah berkata, tindakan membakar rumah itu bukan yang pertama dilakukan cucu saudaranya kerana dia pernah mencuba berbuat demikian ketika berusia 10 tahun.

Katanya, selain berstatus OKU, remaja lelaki itu turut dikatakan mengalami masalah mental dan masih dalam rawatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya dengan kekuatan 19 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.59 malam.

“Setibanya di lokasi, kita dapati rumah ini sudah musnah sepenuhnya dan difahamkan seorang mangsa yang berusia 14 tahun berada dalam rumah ketika kejadian tersebut sempat menyelamatkan dirinya sebelum bomba tiba.

“Api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 25 minit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE