PETALING JAYA: Putus cinta dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan cuba membunuh diri di sebuah hotel di Bandar Utama, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kehadiran mangsa berusia 19 tahun itu disedari pengawal keselamatan selepas mendapati dia berada di bumbung bangunan hotel terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Ramli Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 pagi tadi.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati mangsa dilihat dalam keadaan gelisah dan berada di hujung bumbung bangunan hotel 24 tingkat berkenaan seolah-olah mahu terjun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan rakan lelaki mangsa berusia 18 tahun untuk memujuk mangsa.

“Selepas lebih sejam memujuk mangsa, dia berjaya dibawa ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, mangsa dipercayai berbuat demikian kerana kecewa ditinggalkan teman lelakinya.

“Operasi tamat pada jam 5.52 pagi tadi,” katanya yang memaklumkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan – berita harian