KOTA BHARU – Seorang remaja sempat menjalankan kerja amal dengan menukar karpet di sebuah madrasah di sini sebelum maut dalam kemalangan di sini malam tadi.

Sebelum kejadian pada jam 11.55 malam, mangsa, Muhammad Omar Ruslee, 16, dikatakan sedang menukar karpet di madrasah berdekatan dan pulang ke rumahnya.

Muhammad Omar kemudiannya keluar minum bersama rakannya setelah selesai melakukan kerja terbabit bersama bapanya.

Mangsa, dikatakan membonceng motosikal bersama rakannya, Abdul Rahman Wan Ngah, 18, sebelum motosikal yang ditunggang rakannya itu merempuh sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina.

Bapa mangsa, Ruslee Yaacob, 54, berkata, pada kebiasaannya anaknya akan balik awal selepas minum bersama rakannya namun malam itu dia tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam.

“Saya tidak menyangka sama sekali ia merupakan amal jariah terakhir dan dia ada membantu saya membentangkan karpet di madrasah.

“Arwah adalah anak keempat daripada enam adik beradik dan selalu membantu saya untuk membersihkan madrasah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komissioner Baharom Abu, berkata kejadian berkenaan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Ketereh ke Kok Lanas.

“Setibanya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, rakan mangsa yang menunggang tidak sempat memberhentikan motosikalnya dan merempuh kereta berkenaan yang cuba melintas untuk menuju ke arah Kota Bharu.

“Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa yang parah di kepalanya meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya berada dalam keadaan kritikal,”katanya.

-SinarHarian