TELUK INTAN, 22 Nov (Bernama) — Lima suspek yang didakwa membunuh seorang lelaki sebelum membakar mangsa itu dalam kereta di ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Banjar di sini pada 15 Nov lepas disambung reman enam dan tujuh hari lagi.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria bermula esok membabitkan tiga suspek termasuk dua wanita itu direman enam hari sehingga 28 Nov manakala dua lagi suspek direman sehingga 29 Nov.

Terdahulu, kelima-lima suspek yang berbaju lokap tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 9.00 pagi dengan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian itu, mayat lelaki yang rentung, belum didedahkan identitinya itu ditemui seorang penduduk yang melalui kawasan itu pukul 8.45 pagi.

Siasatan awal polis mendapati kes itu bermotifkan masalah peribadi membabitkan teman wanita.

Terdahulu kelima-lima suspek berusia antara 24 hingga 44 tahun yang ditahan di beberapa lokasi di daerah Hilir Perak dalam satu operasi pada hari yang sama, telah dikenakan perintah reman selama satu minggu bermula 16 Nov lepas hingga hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA