GERIK: Reman empat suspek yang terbabit dalam sindiket pemburuan haram profesional di sekitar daerah ini dengan membunuh sekurang-kurangnya 20 ekor gajah sejak sembilan tahun lalu disambung sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata, suspek berusia lingkungan 40 hingga 49 tahun itu disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis.

“Suspek sebelum ini sudah direman sehingga semalam dan perintah untuk sambung reman sudah diperoleh sehingga 25 Mac ini (Ahad ini),” katanya ketika dihubungi NSTP.

NSTP sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 20 ekor gajah di hutan sekitar daerah ini dipercayai sudah dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki terbabit, sejak sembilan tahun lalu.

Empat lelaki itu ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula 10 hingga 12 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, dalam sidang medianya pada Selasa lalu berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa.

Menurutnya, keempat-empat lelaki itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Gerik dan hasil penahanan berjaya menemui bangkai seekor gajah yang dibunuh kumpulan terbabit di Hutan Piah, Gerik dan gadingnya dipercayai sudah diambil untuk dijual.

“Kumpulan ini dipercayai sudah memperoleh hasil cukup lumayan sehingga mencecah RM800,000 sepanjang sembilan tahun menjalankan kegiatan pemburuan haram ini.

“Hasil penahanan keempat-empat suspek, polis merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka,” katanya.