KUCHING: Suasana stesen minyak di Jalan Song, di sini, bertukar cemas selepas Perodua Kenari yang dipandu seorang warga emas melanggar premis berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh dinding premis berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pekerja stesen minyak berkenaan jam 9.41 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan.

“Lelaki terbabit gagal mengawal kenderaannya ketika masuk ke kawasan stesen minyak. Dia dipercayai tertekan pendikit minyak sebelum merempuh dinding premis.

“Mangsa bagaimanapun dikeluarkan orang awam di lokasi kejadian dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kebakaran dan pasukan bomba sudah menjalankan pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi kejadian – berita harian