KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pelakon wanita serta rakannya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana merentas negeri tanpa kebenaran ketika melakukan akitiviti berbasikal, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata tangkapan dibuat susulan laporan oleh pihak polis selepas ternampak satu hantaran di Instagram.

“Laporan polis dibuat Ketua Balai Polis Gombak pada jam 3.14 petang, semalam selepas meneliti gambar dua wanita sedang berbasikal di akaun Instagram mengguna nama ‘belladally’ dengan kapsyen ‘Woohoo Genting Sempah with @diyanabana’.

“Kita mengesyaki pemilik akaun Instagram itu merentas negeri tanpa kebenaran polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya pelakon wanita bersama rakannya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam bagi membantu siasatan.

“Kedua-duanya ditahan kira-kira jam 8 malam, tadi ketika mereka hadir ke IPD Gombak.

“Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai mengambil keterangan mereka,” jelas Arifai.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati kedua-dua wanita itu menaiki kenderaan dengan membawa basikal masing-masing dari Dutamas ke Restoran Marina Seafood berhampiran Hospital Orang Asli Gombak, kira-kira jam 7.45 pagi, Ahad lalu.

“Mereka mula berbasikal pada jam 8.30 pagi melalui Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah.

“Selepas berbasikal kira-kira 10 kilometer, mereka berpatah balik ke kenderaan dan bergerak ke ibu negara,” katanya.

Kata beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Siasatan turut dijalankan mengikut Perkara 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan Jangkitan)(No.8) 2020

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dikuatkuasakan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.