Gabungan rasa segar daun pudina ditambah dengan resapan kuah dari fucuk goreng menambahkan lagi tekstur unik dalam semangkuk hidangan mee kari Wa Yahaya.

Gerai Mee Kari Laksam Wa Yahaya yang terletak di dalam Restoran Cucuwan Cafe, Greentown, Ipoh menawarkan hidangan mee kari yang lain daripada biasa anda nikmati.

Tidak hairanlah mengapa ramai yang menjadikan gerai ini tempat persinggahan untuk mengisi perut dengan harga menu yang berpatutan.

Gerai yang dimiliki oleh dua orang adik- beradik iaitu Azura Yahaya, 34 dan Azril Yahaya, 26 ini mula beroperasi sejak November tahun lalu.

Menurut Azril, keistimewaan mee kari di gerai ini terletak pada rasa kuah karinya yang unik dan disertakan dengan rasa pedas sambal istimewa, bak kata orang menambahkan ‘kick’ dalam hidangan tersebut.

“Resepi mee kari ini adalah warisan turun temurun daripada keluarga kami yang berasal dari Brunei.

“Rasanya berbeza daripada mee kari Melayu kerana kami menggabungkan elemen masakan Cina dan Melayu Brunei dalam hidangan ini,”katanya kepada Suara Perak.

Selain mee kari, menu lain turut disediakan antaranya laksam, mee kicap dan wantan mee.

Azril menambah bahawa hidangan wantan mee di sini menggunakan isi ayam untuk inti wantan dan juga turut dihidangkan bersama sup istimewa.

“Sup ini mempunyai rasa yang unik kerana kami menggunakan sayur-sayuran sebagai bahan utama.

“Kebanyakan hidangan sup yang lain menggunakan ayam atau daging sebagai bahan utama tetapi kami mahu hidangkan sup yang sihat dan tidak berlemak bagi mereka yang inginkan hidangan yang sihat,” katanya.

Harga makanan di gerai ini bermula dari RM4 sehingga RM5.50.

Gerai ini beroperasi bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan dibuka pada hari Isnin sehingga Sabtu.