IPOH: Seringkali kita mendengar mengenai pertemuan semula pasukan pertahanan Malaysia namun mungkin terlepas pandang mengenai anak-anak mereka yang membesar bersama di kuarters kerajaan.

Buat pertama kalinya seramai 350 anak Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta dipertemukan semula di program Reunion Ikatan Ukhwah Anak-Anak Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta 2017.

Pertemuan selepas 40 tahun terpisah ternyata menggamit nostalgia buat
generasi kedua tahun 60an hingga 70an daripada seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei.

Pengerusi penganjur, Kamarulzaman Ramli, 53, berkata, program itu bertujuan mengumpulkan semula golongan anak-anak PPH yang sudah lama tidak berhubung sejak berpindah keluar dari kuarters berkenaan.

“Selepas tidak berjumpa hampir 40 tahun, saya bersyukur kerana masih ramai rakan yang meluangkan masa, bukan mudah untuk mengumpulkan semua, namun sambutan adalah di luar jangkaan.

“Lima tahun lamanya saya bertungkus-lumus mengumpulkan data kawan-kawan, dan impian saya tercapai pada hari ini, seronok rasanya berkumpul bersama semua rakan sebaya.

“Hari ini menjadi sejarah khusus untuk kami, berkesempatan berlawak jenaka sambil mengenang kisah lama yang berharga dan tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang anak PPH, Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya berkata, beliau teruja kerana kali terakhir berjumpa dengan rakan-rakannya adalah ketika persaraan bapanya sekitar 36 tahun yang lepas, iaitu sekitar 1981.

WhatsApp Image 2017-05-04 at 08.03.27

Beliau yang kini menerajui empayar agensi pelancongan berkata, ketika memasuki kem tersebut pada tahun 1967 bangunan itu masih serba baru malah cukup menjadi kebanggaannya untuk menjadi salah seorang penghuni di kuarters berkenaan.

“Saya pun tak percaya sebenarnya kami dapat berkumpul setelah begitu lama tidak mempunyai khabar berita sesama kami, jadi apabila diajak sudah tentunya saya tidak melepaskan peluang ini.

“Seronok, bila tengok raut wajah rakan-rakan yang pernah menjadi teman sepermainan dan “geng” melepak dulu-dulu di kem ini masih sihat, sekarang semua dah berkeluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, kapten kapal dagang, Kapten Abdul Jalil Mansor, 62, pula berkata, beliau cukup terharu kerana masih diberikan kesempatan untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang pernah berkongsi tawa riang dan pahit manis bersama sewaktu menginjak dewasa.

“Sedih pun ada, sebab ada di antara kami yang sudah menyambut seruan Ilahi, dan ada yang sudah memakai tongkat dan sebagainya tetapi inilah aturan kehidupan, kami yang masih ada ini bersyukur dipertemukan semula,” ujarnya.

Abdul Jalil yang mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam pelayaran kapal dagang berkata, beliau adalah antara generasi pertama merasmikan blok kuarters di PPH dan menetap di situ sebelum keluar pada tahun 1975.

“Masih jelas di ingatan saya kami yang lelaki ini, ada usik-mengusik rakan-rakan perempuan, biasalah nakal-nakal macam itu sahaja.

“Malah, apabila saya memandu masuk ke dalam kem ini, setiap tempat dan setiap lokasi membuatkan saya terkenang memori kami semua, saya ceritakan kepada isteri dan anak-anak saya.

“Antaranya, kamilah tukang jaga motor Vespa kalau skuad PPH masuk hutan, ada juga yang curi-curi tunggang motosikal,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Program yang diadakan Di Dewan 1 (Drill Shed) Berek Rekrut Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu bermula seawal jam 8 pagi hingga 8 malam telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tayangan slaid memori lama, sesi suai kenal, karaoke santai, cabutan bertuah dan pertandingan bola sepak.

Selain itu, acara pada sebelah petang pula turut digamatkan dengan persembahan nyayian oleh artis terkenal tanah air, N.D Lala.