PARIT BUNTAR – Ikan sawah atau ikan darat sering menjadi permintaan daripada peminatnya kerana segar dan manis isinya.

Kesempatan itu dimanfaat­kan seorang pesawah, Kama­rud­din Ismail, 54, dari Kampung Parit, Tanjung Piandang di sini apabila menjadikan parit sawah sebagai lubuk rezeki tambahan.

Hampir setiap hari terutama ketika air sawah dialirkan keluar dari petak sawah, dia akan memasang pukat di dalam parit sawah yang sudah hampir ke­ring.

Secara purata sehari, dia mendapat hasil lebih 20 kilogram ikan sawah seperti keli, sepat, haruan, puyu dan lampam.

Sebaik sahaja hasil tangkapan dibawa ke pekan Batu Lima di sini, sudah ramai pelanggan setia yang menunggu untuk membeli ikan yang masih hidup.

“Pelanggan sudah tahu saya akan membawa hasil tangkapan dan sementara menanti saya datang, mereka minum di kedai kopi dahulu. Saya jual ikan darat pada harga RM5 sekilogram, harga yang berpatutan.

“Boleh dikatakan berebut jugalah pelanggan sampai tidak menang tangan melayannya. Mereka mahukan ikan yang masih segar, mereka seronok membeli ikan-ikan yang masih hidup dan enak jika dimasak masakan tradisional,” katanya di sini.

Menurutnya, ikan sawah atau ikan darat juga boleh di­buat pekasam dan ikan ke­ring yang turut mendapat permintaan yang menggalakkan.

“Hasil tangkapan ikan di darat ketika ini berkurangan, malah jauh berbeza berban­ding 20 tahun lalu, sehingga menyebabkan ikan ini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, menjaring ikan merupakan kerja sampingannya kerana mahu mencari pendapatan lebih disebabkan tidak boleh hanya bergantung pada hasil sawah padi seluas hampir tiga hektar yang diusahakannya.

Katanya, sementara menanti hasil sawah, dia perlu mencari pendapatan sampingan terma­suk menjaring dan memancing di laut, khususnya di kawasan Ban Pecah dekat sini untuk mencari ikan, ketam dan udang.

“Alhamdulillah dengan rezeki daripada kerja-kerja kampung ini saya dapat menampung keperluan enam orang anak yang masih bersekolah dan seorang daripadanya sedang me­lanjutkan pelajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur,” katanya – utusan online