IPOH – Ribuan penduduk Ipoh membanjiri Kompleks Belia dan Sukan di sini untuk bersama memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri yang berlangsung pagi tadi.

Selain penduduk, atlet-atlet Perak yang mewakili negeri pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, September lalu juga turut menyertai sambutan berkenaan dengan mengambil bahagian dalam beberapa acara seperti larian dan kayuhan basikal sejak jam 7 pagi lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee berkata, sambutan berkenaanturut diadakan secara serentak di16 lokasi lain seluruh negeri Perak dengan menyasarkan penyertaan lebih 300,000 peserta.

“Dengan penganjuran di 12 daerah pagi ini, kita menyasarkan lebih 300,000 peserta menyertai pelbagai acara disediakan.

“Ia bukan sesuatu mustahil, memandangkan semangat kesukanan daripada penganjuran Sukma lepas masih ada dan sebelum bermula acara lagi, kita sudah menerima hampir 108,000 peserta,” katanya ketika ditemui pada sambutan tersebut, di sini, hari ini.

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah kayuhan basikal, larian, senamrobik, bola jaring, futsal.

Tidak ketinggalan, e-sukan, wall climbing, demo taekwando dan sukan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Howard turut memberitahu segala persiapan mengenai kejohnan Para Sukma yang dijangka berlangsung November depan kini berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Ada cadangan untuk kita kumpulkan semua acara di satu-satu tempat, ini bagi memudahkan semua pihak, tapi belum ada keputusan muktamad lagi.

“Begitu juga dengan tarikh penganjuran, belum ada yang tepat, kita mungkin akan adakan pada hujung November atau awal Disember depan,” katanya.