IPOH: Beberapa kejadian pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan dilaporkan di sekitar Ipoh berikutan hujan lebat dan angin kencang, petang Jumaat.

Kejadian yang dikatakan berlaku sekitar jam 4.15 petang itu turut menumbangkan pokok Ipoh yang ditanam di Dataran Stesen Keretapi.

Pokok tersebut yang menjadi asal usul nama Ipoh ditanam oleh Menteri Besar Perak yang ketujuh, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh pada 18 Januari 1980 sempena ulangtahun ke 50 Kelab Rotary Ipoh.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan.

Anggota bomba dan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh bertungkus lumus membersihkan pokok-pokok yang tumbang.

Seorang peniaga kereta terpakai di Jalan Silibin, Amirul Iqmal Mustafa menceritakan, detik-detik ketika sebatang pokok besar tumbang berhampiran pejabatnya.

“Waktu kejadian berlaku, masa tu saya dalam pejabat saya, lebih kurang dalam setengah jam angin kuat, kemudian akar poko jatuh, waktu tu saya dalam ketakutan, saya larilah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang surirumah di Kampung Kuala Pari Hilir, Roslina Zainudin pula menceritakan bagaimana angin kencang menerbangkan atap rumahnya serta rumah beberapa jiran.

“Saya nampak angin angkat bumbung, melayang, lepas tu bumbung rumah jiran lagi, rumah saya habis semua, syiling semua runtuh…lepas tu nampak angina macam berpusing dan berbunyi, memang menakutkan,” ceritanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Pari Hilir, Suffian Yahya berkata, kira-kira 10 buah keluarga terlibat dalam kejadian itu.

“Kita telah membuat bancian, seramai 19 orang yang akan kita tempatkan di tempat sementara bencana di dewan.

“Dewan itu pun sebenarnya terlibat juga kerana letrik terputus, jadi kita sedang menunggu TNB untuk menyalurkan bekalan semula,” katanya.